Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menempelak parti lamanya, Pas, susulan kerjasama parti Islamis itu dengan Barisan Nasional (BN).

Dalam ucapannya di Sungai Koyan 1 pada Jumaat, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sekali lagi menghiburkan hati penonton dengan jenakanya sambil menyindir Pas.

Beliau secara berseloroh berkata, Pas dan BN kini amat mesra, sambil membuat isyarat tangan seolah-olah membayangkan dua pihak sedang bercumbu.

Menurut Mat Sabu yang juga Menteri Pertahanan, sewaktu beliau bersama Pas, ahli-ahli parti diajar untuk benci kepada BN.

"Parti saya dulu (Pas) tak boleh tengok bendera dacing (BN) tu. Kadang-kala, kami nampak bendera dacing, tak mahu lalu bawah, dan pusing jauh.

"Begitulah kami diajar untuk benci dengan dacing ini. Sekarang, pemimpin parti saya dulu dengan dacing 'uh uh uh'.

"Dulu bila kita buat tuduhan (Pas bekerjasama dengan BN) mereka nafi. Takda hubungan. Rupanya 'uh uh uh'," katanya sambil disambut gelak ketawa mereka yang hadir di sini.

Amanah dibentuk selepas Muktamar 2015 apabila kumpulan progresif Pas tewas dalam pemilihan parti itu.