Apa jua yang terkeluar dari mulut tokoh politik ini pasti menjadi kontroversi kalau tidak pun akan menarik perhatian masyarakat terutama di Dewan Rakyat dan laman sosial.

Itulah sosok individu yang dikenali sebagai Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak lekang daripada segala isu dek kerana kelantangannya mengeluarkan kenyataan.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P. 187 Kinabatangan ini bagaimanapun mahu memperterjemahkan kelantangannya itu untuk terus membangunkan rakyat di Kinabatangan dengan memberi fokus kepada beberapa elemen pembangunan belia, menaikkan imej eko-pelancongan serta infrastruktur asas di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Untuk rekod, pada PRU14 ini, Bung Moktar akan menghadapi pertembungan tiga penjuru bagi kerusi itu dengan dicabar oleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan), MA Ghazali Abdul Ghani dan Mustapa Tambuyong daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Bung Moktar (dua, kiri) mengaminkan bacaan doa sebelum memulakan majlis bersama rakyat.
"Ada petikan saya tidak habis diedit oleh pembangkang macam-macam mereka muat naik di media sosial tetapi saya tidak ambil kira soal ini kerana saya tahu politik merupakan satu gelangang bak kata pepatah Melayu kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

"Ekoran kelantangan saya ini banyak membawa perubahan kepada rakyat (Kinabatangan) cuma ada sedikit isu-isu mungkin membabitkan sentimen masyarakat yang tidak seharusnya berlaku tetapi berlaku secara spontan.

"Tetapi saya hadapi isu-isu ini secara profesional dan saya dapat menangani beberapa isu yang dikira kontroversi dan ini tidak menjejaskan langsung prestasi saya menjaga kawasan sekali gus mengangkat martabat mereka," katanya ketika ditemui di Kinabatangan, pada Rabu.

Calon Parti Warisan MA Ghazali yang ditemui di rumahnya di Bukit Garam, Kinabatangan
Sementara itu, calon Parlimen P. 187 Kinabatangan dari calon parti Warisan MA Ghazali ketika ditemui di kediamannya di Bukit Garam, berkata, pihaknya mahu lebih berketrampilan dengan pelbagai isu mendalam ketika kempen PRU14 ini.

Jelasnya, beliau mengaku calon BN Bung Mohktar seorang tokoh politik yang disegani tetapi terdapat beberapa kepincangan dalam memajukan daerah itu yang berpotensi lebih ke hadapan terutamanya dari sektor eko-pelancongan sedia ada di Kuamut dan Sukau.

MA Ghazali mendedahkan, kehadiran beliau dalam arena politik bukan secara tiba-tiba memandangkan kedua ibu bapanya merupakan bekas wakil rakyat di daerah itu ketika zaman pentadbiran Berjaya di Sabah antara 1976 hingga 1986.

"Kita akui dan harus memberi kredit kepada mereka (BN) tetapi rakyat Kinabatangan mahu lebih daripada itu.

"Mereka sudah memerintah selama 25 tahun di sini, kalau diizinkan kami yang memerintah ada perancangan dan kajian mana yang boleh dibuat, industri mana boleh diwujudkan sebagai contoh di DUN Sukau yang amat terkenal dalam eko-pelancongan," katanya.

Tuni Gani, 48 tahun
Sementara itu, salah seorang penduduk jati Kinabatangan, Tuni Gani, 48, Kampung Abai Kinabatangan berharap mana-mana parti yang ditakdirkan memerintah selepas PRU14 nanti akan melihat beberapa isu dalam meningkatkan lagi impak kemajuan di daerah tersebut.

"Sebagai anak jati Kinabatangan saya berharap kepada parti pemerintah supaya membawa satu pembangunan dan pembaharuan kepada masyarakat.

"Kami harap ada satu kepimpinan yang bertunjangkan kemasyarakatan bukan sekadar membangunkan tetapi berlandaskan ekonomi yang boleh bertaraf tinggi," katanya.

Esm Noratikah Samsul, 22 tahun.
Manakala bagi Esm Noratikah Samsul, 22, dari Kampung Kinabatangan, pula berpendapat kemajuan belia di daerah berkenaan perlu ditingkatkan lagi dalam memastikan ianya berkembang dan boleh berdaya saing di masa hadapan.

"Di kampung saya eko-pelancongan sangat maju, saya menginginkan parti yang menang memajukan lagi eko-pelancongan ini.

"Saya juga berharap kemajuan teknologi itu berkembang supaya kemajuan dari segi pendidikan di kampung saya semakin maju untuk belia-belia," katanya.