KUALA LUMPUR:Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melantik mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang mempunyai perjalanan kes di mahkamah untuk mengelakkan sebarang gangguan kepada pentadbiran kerajaan.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menegaskan terpulang kepada Perdana Menteri melantik Ahli Parlimen yang tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti untuk memegang portfolio di dalam kementerian.

"Terpulang sebenarnya lantik menteri ini (di bawah) kuasa Perdana Menteri; dia boleh buat keputusan hendak lantik siapa.

"Apa yang dibuat sebelum ini adalah, orang yang ada kes, dia (Muhyiddin) tidak ambil.

"Bukan maksudnya orang itu sudah salah, tetapi takut mengganggu pentadbiran kerajaan sekarang dengan perjalanan kes.

"Itu yang menyebabkan orang itu tidak diambil untuk duduk dalam kerajaan.

"Kalau hendak diambil orang yang tiada jawatan dalam parti, itu kuasa Perdana Menteri, yang penting orang itu adalah Ahli Parlimen.

"Dan kalau tidak Ahli Parlimen, dia boleh dilantik menjadi Ahli Parlimen, jadi Senator untuk masuk.

"Ada juga diambil macam Masrizal (Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad), dia orang UMNO, tidak ada jawatan tetapi dibawa masuk," katanya semasa dihubungi, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Biro Politik UMNO dikatakan memberi kata dua kepada Muhyiddin agar membuat rombakan Kabinet dan menyingkir menteri dari parti itu yang tidak mempunyai jawatan utama dalam parti.

Menurut sumber portal berkenaan, permintaan itu dan beberapa permintaan lain dikemukakan kepada Muhyiddin oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu sidang maya.

Biro Politik UMNO juga dikatakan mahu semua pelantikan Kabinet mewakili parti itu mengambil kira hirarki dalam parti.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy menjelaskan UMNO perlu segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan untuk mengelakkan mainan persepsi dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, rakyat juga sudah muak dengan suasana politik yang agak mengejut kebelakangan ini.

"Selagi kita tidak menerima sebarang kenyataan rasmi kononnya ada diadakan mesyuarat (Majlis tertinggi UMNO) semalam tetapi berita berkenaan adalah berita palsu dan perlu kita nafikan di sini, sebarang maklumat atau desas-desus yang dikeluarkan portal-portal berkenaan, kita tidak tahu sejauh manakah kesahihan.

"Kalau benar perkara itu berlaku, saya melihat UMNO perlu membuat satu kenyataan rasmi berhubung dengan maklumat yang ditularkan berhubung pengguguran menteri ini.

"Soal mainan persepsi ini akan membuatkan rakyat muak dengan suasana politik yang agak mengejut sejak kebelakangan ini," katanya.