Empat madu bersatu bina markas berkempen

Empat madu bersatu bina markas berkempen
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Santan dan Beseri turut ditemui ketika lawatan mereka ke markas itu.
PERLIS: Menghias markas dan memasang bendera adalah perkara biasa yang dilakukan setiap kali tiba musim berkempen.

Namun, berbeza dengan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sri Tunjung, Mohd Yusoff Amin apabila tugasan berkempen itu tidak seberat mana apabila dibantu oleh empat isterinya.

Keempat-empat isterinya, Darishah Othman, 53, Mistara Eriman, 48, Ramlah Ibrahim, 36, dan Maziah Ahmad, 38 sebelum ini tinggal sebumbung bersama 24 anak dan 12 orang cucu mereka.

“Kami ini sudah lama mengeratkan silaturahim antara isteri-isteri saya. Jadi orang kata apa kami buat ini untuk bekerjasama yang menunjukkan kami bersatu. Bukan parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tetapi kami ini bersatu dalam keluarga.
“Kami berpakat-pakat buat sama-sama, dua (isteri) pergi ke dapur manakala dua lagi membantu saya dan kawan-kawan. Jadi di sini lah (markas) kami berhimpun,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Isteri-isteri Mohd Yusoff membantu memacak bendera pada markas kempen.

Menceritakan lebih lanjut, ramuan rahsia yang menjadi amalan mendidik isterinya sejak dahulu, adalah mengenepikan perasaan cemburu dan iri hati serta berbincang dalam merencanakan sesuatu agar berlaku adil.

Meskipun sukar ditempuh pada mulanya, kata beliau, dua sifat itu akan menjadi bekalan sekiranya berlaku perselisihan faham.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Santan dan Beseri turut ditemui ketika lawatan mereka ke
markas itu.

Mereka memuji komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan keempat-empat isteri mohd yusoff kerana sanggup bersengkang mata menyiapkan markas serta memasang bendera parti demi menunjukkan sokongan serta semangat mereka kepada parti.

Isteri-isteri Mohd Yusoff membantu membina markas dan berkempen.