Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong penubuhan Perikatan Nasional melalui kerjasama gabungan parti politik.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani pemimpin utama enam parti itu turut menegaskan, satu Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah dirangka.

Memorandum Persefahaman PN itu dirangka bertujuan memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

"Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.

"Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63," kata kenyataan itu.

Kesemua enam parti itu juga menegaskan bahawa Memorandum Persefahaman PN juga akan memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Selain itu, dokumen itu turut menyatakan hasrat memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.