Pemuda UMNO akan terus lantang bersuara walaupun menerima kecaman pelbagai pihak berkaitan pendirian yang menyarankan agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui laman Instagramnya berkata, era Pemuda 'Yes Man' sudah berakhir, Pemuda UMNO akan terus lantang dan berani bersuara tanpa gusar termasuk kepada pucuk kepimpinan namun masih dalam kerangka adab dan berakhlak.

Menurutnya, walaupun telah menerima pelbagai kecaman Pemuda UMNO tetap menzahirkan rasa syukur kerana mereka masih bersatu mendepani isu berkenaan.

“Alhamdulillah, walaupun menerima pelbagai tekanan, kecaman dan hentaman hanya kerana menyatakan pandangan yang berbeza namun Pemuda UMNO tetap teguh bersatu dan bersama mempertahankan prinsip,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda tidak boleh lagi berkompromi dalam apa jua bentuk penyimpangan dan penyelewengan termasuk isu yang menyentuh soal moral, integriti, tadbir urus yang baik, prinsip keadilan dan kebenaran.

“Hari ini (semalam) bermula Program Pemukiman (retreat) Pemuda di Pusat latihan Umno Janda Baik dengan kehadiran seramai 340 orang di kalangan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Bahagian seluruh negara dari Perlis sampai ke Sabah,” katanya lagi.

Minggu lalu, Pemuda UMNO mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden Umno sehingga kes pertuduhan mahkamah yang dihadapinya selesai.

Ahmad Zahid menghadapi 45 tuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan ubah wang haram membabitkan nilai RM114 juta.