Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak memilih untuk berjiwa besar dengan menghulurkan salam perdamaian dan tali silaturahim kepada semua ahli UMNO.

Kata Najib, langkah itu bagi memastikan UMNO terus kukuh ketika dilanda gelora dalaman yang sedang melanda parti itu.

"Saya memilih berjiwa besar, buka pintu menghulurkan tali silaturahim kepada semua, supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO ini," kata Najib semasa menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak yang tetap meneruskan pertelagahan, ia dianggap sebagai menolak titik perdamaian dalam jemaah UMNO.

"Faham baik-baik, ini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menyerang saya sebagai Najib Razak Presiden UMNO, tapi mereka telah menolak untuk mencari titik perdamaian dalam jemaah UMNO ini," katanya.

Ucapan Najib itu nyata mendapat reaksi positif dan tepukan gemuruh para perwakilan.

Selepas ucapan berkenaan, Najib turut bersalaman dengan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh kepimpinan tertinggi UMNO.