Fenomena 'Bossku' tidak dirancang dan ia menjadi tular kerana ia selari dengan jiwa dan keinginan anak muda, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, slogan itu merupakan simbol bahawa anak muda ingin Barisan Nasional (BN) perjuangkan perkara yang dekat di hati mereka.

“Kita lihat bahawa semangat dan fenomena 'Bossku' ini terjadi dengan sendiri dan secara organik.

“Ia tidak dirancang dan bukan satu pengarahan yang kita (BN) lakukan tetapi ia terbit dari hati nurani rakyat terutama sekali generasi muda.

“Ini merupakan satu simbol bahawa orang muda ingin kita perjuangkan apa yang dekat di hati mereka, apa yang mereka lihat sebagai kepentingan kepada anak muda dan negara pada keseluruhannya,” kata Najib kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di sini pada Sabtu.

Slogan 'malu apa Bossku' mula tular selepas sebuah video pendek di Facebook menampilkan seorang pemuda merakam video bersama Najib.

Pemuda tersebut kedengaran menyebut 'bossku' dan disambut oleh Najib dengan menyebut, 'malu apa bossku'.

Foto grafik Najib menaiki motosikal Yamaha Y15ZR bersama perkataan 'malu apa bossku' turut tersebar pantas di saluran media sosial.

BACA: BN berjaya rampas semula kerusi DUN Semenyih

BACA: Kemenangan BN tanda referendum rakyat terhadap PH - Mohamad Hasan