Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa GPS bukan jelmaan baharu Barisan Nasional (BN) 2.0.

"Saya memberi jaminan bahawa gagasan ini tidak akan menjadi seperti BN," katanya.

Ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini, Abang Johari menegaskan, gagasan baharu itu adalah entiti yang benar-benar baharu.

"Jangan anggap ia BN 2.0, siri baharu atau apa-apa kaitan BN, tidak sama sekali.

"Secara keseluruhannya, parti ini adalah baharu. Biar kita siap satu persatu," katanya ketika ditanya mengenai parti baharu itu sekali gus menepis beberapa pendapat sebelum ini bahawa GPS bakal kembali kepada BN.

Abang Johari turut menolak untuk menjawab kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membayangkan ada kemungkinan gagasan baharu dibentuk bagi menggantikan BN.

"Saya tidak mahu mengulas mengenainya dan tidak mempunyai maklumat mengenai kenyataan Zahid," katanya.

Ditanya sama ada rakyat Sarawak dapat menerima GPS, beliau berkata, biarlah masa menentukan.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini bergegas terbang ke Kuala Lumpur selepas majlis bagi memenuhi undangan Rumah Terbuka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara yang dijemput," tambahnya.