Pekan dan Langkawi disifatkan sebagai kerusi paling mencuri tumpuan kerana dua figura yang bertanding, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penganalisis politik, Prof Dr Hamidin Hamid menyifatkan personaliti dua tokoh ini akan menghangatkan kempen pilihan raya dan pengundian 9 Mei nanti.

"Buat masa ini, apa yang kita jangkakan tiga penjuru itu menjadi kenyataan. Namun, saya lebih melihat dari segi personaliti.

"Saya rasa game on Langkawi dan Pekan, itu menunjukkan pertembungan personaliti cukup besar iaitu Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib.

"Apa yang mewakili dua arus ini, itu yang kita akan lihat dalam 11 hari ini dan kemudian pada 9 Mei nanti," katanya semasa menjadi tetamu program 'Malaysia Memilih 2018' di Astro AWANI di sini, hari ini.

Parlimen Pekan bakal menyaksikan pertandingan antara Datuk Seri Najib sebagai calon Barisan Nasional (BN) dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Zahid Mat Arip; Kapten (B) Ahiatudin Daud mewakili Pas dan calon Bebas, Datuk Paduka Abd Kadir Sainudin.

Tun Dr Mahathir yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi bakal berentap di pertandingan tiga penjuru iaitu dengan calon BN, Datuk Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad.

Dalam pada itu, penganalisis Geopolitik dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali menyifatkan persaingan yang sangat sengit pada 9 Mei ini.

"Apa yang saya rasa PRU14 ini, ia sangat menarik di mana ada pertandingan tiga penjuru, dan kita tidak sangka fenomena ada (calon) yang dilucutkan daripada bertanding.

"Jadi, inilah yang menjadi lebih sengit. Mungkin ketidakpuasan hati yang timbul dan sejauh mana jentera-jentera melihat bahawa inilah yang kita perlu sokong atau sanjung dalam memastikan kemenangan sesuatu kawasan itu."

Bagi yang tidak dicalonkan atau bertanding, katanya, mereka mampu menyemarakkan lagi semangat PRU14 dan memberi sokongan kepada jentera parti masing-masing.