Ahli PKR yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu perlu membayar ganti rugi RM10 juta sekiranya mereka bertindak keluar parti selepas bertanding atas tiket parti itu.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata surat itu ditandatangani sebelum ahli PKR menerima watikah sebagai calon pada PRU14 lalu.

“Surat kontrak tersebut menyatakan sesiapa yang menang tetapi keluar parti dia perlu membayar ganti rugi RM10 juta.

“Saya juga menandatangani surat tersebut dan saya yakin Dr Chong (Adun Pemanis) turut berbuat demikian,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Adun Kota Iskandar di sini.

Beliau merujuk kepada tindakan Adun Pemanis, Dr Chong Fat Full yang mengumumkan keluar PKR dan menjadi bebas sekaligus menyokong kerajaan gabungan baharu Johor.


Mengulas lanjut, Jimmy yang juga Adun Bukit Batu berkata beliau akan merujuk kepada kepimpinan pusat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Chong.

Dr Chong sebelum ini mempertahankan keputusan beliau selepas memikirkan kepentingan negeri Johor, masyarakat Dun Pemanis dan masyarakat negeri Johor dan bersedia dengan sebarang kemungkinan akibat tindakannya itu.

“Tiada tekanan diberikan kepada saya ketika membuat keputusan berkenaan. (keluar PKR),” katanya ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar Johor, pada Rabu.

Sokongan Dr Chong meningkatkan lagi peluangnya menjawat jawatan Exco memandangkan beliau satu-satunya Adun berketurunan Tionghua yang berada dalam kerajaan gabungan baharu Johor.

Dengan penyertaan Dr Chong sebagai Adun Bebas, ini menjadikan kerusi yang dipegang di bawah kerajaan Gabungan Baharu kekal majoriti mudah iaitu 28 kerusi berbanding 26 kerusi Pakatan Harapan (PH).

Dua kerusi Adun tidak dikira memandang dua Adun, Adun Tiram Mazlan Bujang dan Adun Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak hadir pada sesi temubual dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dr Chong, 60, yang merupakan doktor gigi selama 30 tahun, menyertai PKR sejak 2009.