Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) menggesa Datuk Seri Shafie Apdal serta pemimpin parti Warisan (Warisan) tampil membantu siasatan mengenai status kehilangan Michael Persius Ubu berhubung kes urusan pembelian tanah ladang kelapa sawit di daerah Tongod, Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sehingga kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah gagal mengesan status terkini Michael Persius.

Tambahnya lagi, beliau meminta bantuan pemimpin Warisan untuk bekerjasama bersama SPRM bagi mengesan kedudukan sebenar Michael Persius.

"Kita telah meminta agar dilibatkan terus Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Peter Anthony dan Darell Leiking, Datuk Dr Jaujan Sambakong, Junz Wong dan kesemua pemimpin Warisan Sabah.

"Ini kerana mereka sekarang ini bergerak di setiap pelusuk Sabah untuk berkempen. Jadi kita minta mereka ini membantu SPRM untuk mengesan di mana Michael dan menguar-uarkan di dalam kempen jelajah Warisan termasuk hebahan media,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat meminta penjelasan mengenai status Michael Persius Ubu kepada SPRM Sabah di Pejabat SPRM, Kota Kinabalu.

Jelas Zulkarnain, sehingga hari ini, SPRM Sabah tidak mempunyai maklumat mengenai kedudukan sebenar Michael Persius manakala kes ini akan dibawa ke ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi memperkuatkan lagi langkah mereka dalam mengesan lokasi sebenar individu terbabit.

Pada 5 Januari, Peter dan Michael Persius diminta hadir di Pejabat SPRM bagi membantu siasatan urus niaga pembelian tanah yang dianggarkan bernilai RM155 juta.

SPRM turut memberi tempoh 48 jam kepada kedua-dua individu untuk menyerah diri dan memberi kerjasama bagaimanapun Michael gagal untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM sehingga hari ini.