Tutup

Generasi muda akan diberi layanan istimewa - Tun M

Generasi muda akan diberi layanan istimewa - Tun M
DR MAHATHIR: Generasi muda akan diberi layanan istimewa menerusi bidang pertanian dan perniagaan. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Generasi muda akan diberi layanan istimewa menerusi bidang pertanian dan perniagaan, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya ini disebabkan anak muda lebih menguasai teknologi terkini selain terlatih dan berpelajaran berbanding generasi lama.

Jelas Perdana Menteri, walaupun generasi muda kurang berpengalaman, tetapi dengan pendedahan yang secukupnya, mereka boleh mencapai kejayaan yang lebih baik.

"Hari ini terdapat contoh-contoh yang baik dalam kalangan orang muda dalam bidang industri, pertanian moden dan ternakan.
"Negara kita amat bergantung kepada barangan dan makanan yang diimport dari negara asing. Sebaliknya barangan ini boleh dikeluarkan dalam negara kita," katanya katanya dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Oleh itu, generasi muda akan diberi latihan dan peluang untuk memasuki bidang-bidang ini.
Menurut Dr Mahathir, ini dapat dilaksanakan dengan golongan muda memulakan kerjaya dengan bekerja sebagai tenaga upahan.

Apabila sudah mempunyai pengalaman, tambah beliau, bagi mereka yang berminat, peluang akan diberi agar mereka dapat bertapak sebagai usahawan berjaya menerusi bidang pilihan mereka.