Strategi gerak kerja Barisan Nasional (BN) Perak menguruskan dua pilihan raya kecil di negeri ini akan dijadikan modul rujukan bagi negeri lain membuat persiapan menghadapi PRU-14.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata modul yang digunakan BN Perak sehingga membawa kemenangan bergaya dalam PRK Teluk Intan dan Kuala Kangsar telah mencetus minat untuk digunakan sebagai bahan rujukan.

Menurut Dr Zambry, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN pernah merujuk kepada modul gerak kerja negeri Perak sebagai contoh strategi pilihan raya sistematik sehingga membawa kejayaan kepada calon BN di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut.

"Saya tidak bermaksud Perak (gerak kerja PRK) terbaik, tetapi berdasarkan fakta dan sejarah di sini boleh dikatakan modul tersebut bersesuaian dengan konteks negeri dan secara umumnya Perdana Menteri pernah menyebut mengenai keperluan untuk melihat kepada modul tersebut sebagai contoh.

"Selain itu, menyedari kelebihan dan kekurangan modul gerak kerja di setiap negeri kami sering bertukar pandangan dan membantu sesama negeri, kerana itulah pendekatan sebenar BN iaitu saling melengkapi antara satu sama lain," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Back to School di Dewan M Sidek Shabudin, KD Pelanduk, Pengkalan TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ingatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa pengerusi badan perhubungan UMNO di seluruh negara untuk turun padang bagi bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid dalam ucapannya di Bentong pada malam Ahad juga mengingatkan kesemua pemimpin agar memberikan tumpuan terhadap kawasan berpotensi yang mampu dirampas semula daripada pembangkang.

Jelasnya, sebelum ini Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu juga pernah memuji bilik gerakan pilihan raya negeri Perak sebagai yang terbaik di Zon Utara.

Katanya, sebagai seorang rakyat Perak, TPM memahami strategi pillihan raya yang digunakan termasuk mengenalpasti permasalahan rakyat akar umbi serta sistem menjejaki pengundi yang dicipta oleh negeri Perak.

Sementara itu, Dr Zambry menegaskan tumpuan BN Perak pada PRU akan datang adalah memberikan perhatian kepada kerusi Parlimen yang pernah dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini.

"Secara asasnya kita akan memberi tumpuan lebih kepada kawasan yang pernah kita menang, khususnya 30 daripada 59 kerusi di Perak untuk memastikan kerajaan dapat dibentuk.

"Bagaimanapun, kita tetap akan menggerakkan tenaga jentera kepada kesemua 59 kerusi kerana tiada yang mustahil dalam politik, tiada sesuatu yang mustahil untuk kita mencapai kemenangan," katanya lagi.

Katanya, pembangkang hanya mula mendapat peluang selepas PRU 2008 dan 2013 namun tidak mustahil untuk peristiwa kekalahan teruk mereka dalam PRU sebelum ini berulang.