Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah hari ini mempertahankan status Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai sebuah badan bukan kerajaan, NGO dan bukan sebuah parti politik.

"GHB adalah sebuah NGO, jadi status dua pertubuhan ini (GHB dan PAS) adalah sangat berlainan, satu parti politik dan satu lagi NGO," katanya kepada Astro AWANI semasa ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya.

Oleh itu katanya, tidak menjadi masalah bagi ahli PAS sepertinya untuk menyertai NGO seperti GHB.

"Dalam Perlembagaan PAS atau mana-mana parti politik seperti UMNO sekalipun, tidak menghalang ahli terlibat dalam mana-mana NGO," kata Raja Kamarul Bahrin.

Begitupun, beliau yang masih bertegas menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen PAS sedia memberikan penjelasan berhubung kedudukannya dalam GHB kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau jawatan kuasa disiplin parti berhadapan dengan apa-apa kemungkinan.

"Kalau ada apa-apa tindakan yang dikatakan rasmi, saya bersedia (berhadapan dengan tindakan), kerana kita kena bertangungjawab atas apa yang kita lakukan dan saya sebagai wakil rakyat hanya menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat dan saya sanggup berhadapan dengan apa sahaja (tindakan)," katanya.

Beliau sebelum ini mengumumkan pelantikannya sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Negeri Terengganu.

PAS Kuala Terengganu turut mengumumkan memutuskan segala bentuk hubungan dengan Raja Kamarul Bahrin berikutan pengumuman beliau sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Negeri Terengganu.

Keputusan itu dibuat PAS Kuala Terengganu pada mesyuaratnya pada Sabtu.