Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu enggan mengesahkan pendaftaran Nik Omar Nik Abdul Aziz di dalam GHB.

Katanya, beliau akan menyemak semula dan akan membuat pengesahan berhubung perkara tersebut.

"Saya pun tiada maklumat berkenaan perkara itu kerana saya pun telah lama tidak ke Kelantan," jelas Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Malah, beliau berkata GHB merupakan sebuah parti yang terbuka dan sedia menerima siapa sahaja untuk menyertainya termasuk Presiden PAS dan ahli Majlis Syura.

"Siapa sahaja kita alu-alukan menyertai GHB termasuk Presiden PAS dan ahli Majlis Syura. Siapa sahaja," ujar Mat Sabu selepas melancarkan GHB peringkat Selangor di sini pada Ahad.


Sebelum ini wujud desas-desus yang mengatakan Nik Omar, anak kedua kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menyertai GHB.

Bagaimanapun, abang sulung Nik Omar, Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Pasir Mas menafikan khabar angin tersebut.

Ditanya berkenaan kedudukan PAS pada ketika ini sejak GHB diwujudkan, Mat Sabu enggan mengulas berkenaan parti itu.

"(PAS) lumpuh atau tidak itu adalah bergantung pada tafsiran seseorang. Saya hanya nak cakap pasal parti saya (GHB) sekarang," katanya apabila ditanya kononnya PAS akan lumpuh selepas penubuhan GHB.

Mat Sabu turut optimis GHB bakal menjadi sebuah parti yang kukuh, memperjuangkan hak rakyat pada masa sama mampu bekerjasama dengan semua pihak.

Katanya, sambutan rakyat terhadap GHB amat memberangsangkan dan beliau mahu rakyat terus memberi kepercayaan kepada GHB untuk terus membangun.