Kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah dilatih untuk berkhidmat dan menjaga rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Demikian tegas Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung senario politik negara ketika ini.

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, jawatan yang disandang tidak akan bererti sekiranya khidmat dan bakti kepada rakyat tidak diutamakan.

“Jawatan bukan segala-galanya, apa yang penting dengan jawatan, ia dapat mengubah nasib dan masa depan rakyat,” katanya.

Abang Johari pada masa sama menyeru rakyat Bumi Kenyalang untuk menilai sendiri usaha dan inisiatif kerajaan negeri khususnya dalam menjaga hak dan keistimewaan kaum Bumiputera.

“Kita nak bangunkan Melayu, Melanau, Orang Ulu, Bidayuh termasuk Cina akan sentiasa kita bangunkan kerana inilah dasar kita dalam GPS dan juga dasar kita dalam PBB,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Konvensyen Khas PBB di Betong pada Sabtu.

Ia dihadiri 650 perwakilan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk perwakilan daripada 14 cawangan PBB di Zon Betong.

Konvensyen Khas PBB ini adalah yang ke-2 diadakan tahun ini sebelum dilangsungkan di Sibu, dan penutupnya di Kuching.