Barisan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa supaya lebih mendekati rakyat bagi memperkuatkan kerjasama itu di Sarawak.

Gesaan dibuat Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah selepas GPS didakwa masih kurang dikenali oleh rakyat Sarawak terutama oleh warga tua di kawasan pedalaman.

Menurut Karim, faktor tidak terdedah kepada perkembangan semasa seperti media sosial merupakan antara faktor mengapa GPS tidak dikenali di kawasan pedalaman terpencil yang tidak memiliki akses internet.

“Pemimpin-pemimpin GPS, wakil-wakil rakyat GPS dalam kawasan luar bandar kena memperlebihkan lagi promosi parti.

“Jangan tunggu Yang Amat Berhormat Ketua Menteri masuk kampung baru hendak bergerak, mereka mesti bergerak sekarang, kalau ada rumah panjang kampung yang belum pernah dikunjungi, pergilah bertemu dengan penduduk di sana,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kuching.

Tambahnya, bukan mudah mengikis pengaruh Barisan Nasional (BN) dan simbol dacing yang sudah 44 tahun bertapak di Sarawak sebelum ini.

“Gerakan pemuda wanita, pemuda GPS mesti turun supaya dapat memberi penerangan tentang GPS, jangan nanti bila sudah sampai beduk untuk pilihan raya dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan baru hendak menggelabah.

“Ramai orang dalam rumah panjang ini masih belum tahu apa itu burung Kenyalang dan sebagainya, jangan nanti salahkan mereka, jadi bertindak sekarang,” katanya lagi.

GPS ditubuhkan selepas empat parti politik Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) membuat keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN), sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 10 Mei 2018.