Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang memutuskan bahawa tiada keperluan untuk Lim Guan Eng meletak jawatan atau mengambil cuti daripada tanggungjawab sebagai ketua Menteri Pulau Pinang susulan dua pertuduhan rasuah ke atasnya yang dikenakan hari ini.

Menurut Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, pendirian sebulat suara dibuat oleh kepimpinan DAP Pulau Pinang selepas meluluskan usul itu dalam mesyuarat tergempar hari ini.

"Kedua-dua pertuduhan terhadap Lim Guan Eng adalah pertuduhan tanpa asas dan merupakan pendakwaan bermotifkan politik.

"Jawatankuasa Negeri menyokong sepenuhnya segala usaha untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tdi Wisma DAP, di sini hari ini.

Chow berkata satu mesyuarat Jawatankuasa DAP Pusat akan diadakan di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi esok.

Lim hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.