Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin PKR akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat unsur politik wang dalam kalangan pemimpin parti itu sepanjang proses pemilihan baru-baru ini.

Menurut beliau, PH tidak akan masuk campur terhadap urusan dalaman parti-parti komponen mereka dan tiada sebarang keperluan untuk membincangkan perkara itu di peringkat Majlis Presiden.

“Itu merupakan perkara dalaman PKR biar mereka uruskan. Saya yakin mereka akan ambil tindakan sewajarnya dan PH tidak mahu campur dalam urusan dalaman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Sebelum ini proses pemilihan PKR berlangsung panas apabila tercetusnya beberapa isu di sebilangan kawasan sehingga menyebabkan perbalahan antara penyokong-penyokong calon bertanding.

Malah, ada juga pihak yang mengaitkan proses pemilihan kali ini turut dicemari dengan budaya politik wang bagi meraih sokongan di peringkat ahli akar umbi.

Selain itu, perkara ini turut disuarakan oleh calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendesak agar kepimpinan parti mengambil tindakan berhubung perkara itu.