Susulan kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat, ekoran serangan fitnah oleh musuh parti itu, seluruh kepimpinan Pas, ahli, serta para penyokong parti akan menunaikan puasa sunat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia akan dilakukan bermula Isnin ini.

Menurutnya, Pas juga akan mengadakan solat hajat besar-besaran mengikut negeri masing-masing yang akan diputuskan oleh Dewan Ulama Pas kelak.

"Maksudnya, setiap negeri akan buat majlis di tempat masing-masing, insyaAllah hari Isnin ini mula. Digalakkan berpuasa bermula Isnin, munajat, sedekah dan amalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan.

"Sebenarnya ini bukan perkara baru. Arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga lakukan benda yang sama. Dan kita arahkan ahli-ahli parti supaya jaga hubungan dengan Allah," kata Tuan Ibrahim.

BACA: Clare sahkan Hadi bayar RM1.4j secara rahsia selesai kes saman

BACA: Rafizi dedah akaun digunakan Hadi Awang wujud

Pada Jumaat, Abdul Hadi menyeru ahli serta penyokong parti itu agar bermunajat dan berdoa kepada Allah dalam berdepan situasi yang dihadapi Pas ketika ini.

Dalam satu status yang dimuat naik Presiden Pas itu di laman Facebook miliknya, Abdul Hadi berkata: "Melihat kepada serangan yang ditujukan kepada Pas dari segenap penjuru dan silih berganti, dengan ini saya menyeru kepada pimpinan, ahli dan penyokong Pas untuk bermunajat dan mengadu kepada Allah yang Maha Kuasa."

Beliau juga mengajak agar ahli Pas menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca al-Quran dan melakukan amal kebajikan kepada semua pihak serta memohon kepada Allah supaya memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat.

BACA: SPRM hanya tanya mengenai Porsche - Mursyidul Am Pas

BACA: Dua pemimpin Pas dipanggil SPRM