Pas sukar untuk mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dengan lebih maju dan pesat berikutan kebanyakan aspek ekonomi perlu mendapat kelulusan Kerajaan Pusat, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kekangan kita khususnya dari segi bidang kuasa melaksanakan syariah Islam termasuk dalam aspek ekonomi. Kerajaan Negeri tidak boleh tubuh bank, itu di bawah Kuasa Pusat.

"Jika ingin membawa masuk pelaburan asing ke Terengganu dan Kelantan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Pusat. Itu antara kekangan kami," katanya selepas merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sempena Muktamar Pas ke-64 di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, bidang kuasa negeri lebih kepada perihal berkaitan pentabdiran negeri seperti menguruskan masjid, harta pusaka, tanah wakaf, pendidikan agama dan hal tanah.

Justeru, Abdul Hadi berharap agar Kerajaan Pusat lebih terbuka dan memberikan banyak ruang bagi Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dalam memajukan negeri-negeri berkenaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal bulan ini dilaporkan berkata Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh ditadbir tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun kebanyakan penduduknya bijak pandai dan cekap dalam tugasan pentadbiran kerajaan, namun negeri itu menjadi miskin kerana kekurangan kutipan cukai dan segala-galanya sekaligus hal ini perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi.

-- BERNAMA