Mahkamah Tinggi menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh pengurusan kes, hari bagi membincangkan tarikh dan tempoh perbicaraan untuk kesemua tujuh pertuduhan itu yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menetapkan hari yang sama untuk membincangkan permohonan perintah larangan bagi menghalang media daripada melaporkan berhubung merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan Najib.

Najib hari ini dikenakan tiga tuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berhubung kait penyalahgunaan kedudukan beliau untuk menerima sejumlah wang hasil aktiviti haram dari dana keseluruhan RM42 juta, ke dalam dua akaun miliknya.

Mengikut kertas pertuduhan itu, beliau didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities ("Rentas") dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Hakim Mahkamah Sesyen 9 Azura Alwi bersetuju untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi 1, dan ketiga-tiga pertuduhan berkenaan kemudiannya didengar semula di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Barisan pendakwa raya diketuai Ketua Jabatan Perbicaraan dan Rayuan dari Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria kemudiannya memohon agar ketiga-tiga pertuduhan baharu itu dibaca serentak dengan empat pertuduhan asal yang Najib hadapi di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, 4 Julai lepas.

Ketua barisan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan permohonan itu, dan berhujah bahawa 4 pertuduhan asal merupakan ‘predicate offenses’, manakala tiga tuduhan baharu dianggap ‘subsidiary offences’.

Azman bersetuju dan membenarkan ia dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 dan didengar semula di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Selain menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh pengurusan kes, Mohd Nazlan juga membenarkan agar ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk empat pertuduhan asal, dipanjangkan semula ke tiga pertuduhan baharu ini.

BACA: Najib mengaku tidak bersalah terima RM42 juta hasil aktiviti haram


Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.