Hanya Anwar boleh menyatupadukan Melayu - Jamal

Hanya Anwar boleh menyatupadukan Melayu - Jamal
JAMAL: Sudah sampai waktu dan ketika UMNO memerlukan sokongan seluruh akar umbi dan menyatupadukan Melayu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos berpendapat hanya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh menyatupadukan Melayu dalam situasi politik hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu menjelaskan, ia sekali gus membawa negara kepada kemajuan, selain wawasan yang dirancang selama ini.

"Kita maklum Anwar merupakan pimpinan kita sebagai Timbalan Presiden UMNO dahulu. Beliau pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan dilucutkan jawatan

"Sudah sampai waktu dan ketika UMNO memerlukan sokongan seluruh akar umbi dan menyatupadukan Melayu.

"Saya melihat penyatupaduan Melayu ini hanya mampu dilakukan Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR," katanya menerusi satu video yang dihantar seorang ahli parti melalui aplikasi WhatsApp kumpulan media, sebentar tadi.
BACA: Anwar Ibrahim sebagai Presiden UMNO?

BACA: 
Jamal Yunos rayu tangguh tutup restorannya

Ia merupakan penjelasan susulan video Jamal sebelum ini yang mencadangkan nama Anwar sebagai calon Presiden UMNO pada pemilihan parti itu akan datang.

Jamal kali ini masih tampil dengan berbaju korporat UMNO menerusi satu video dengan berlatar belakang gegantung pemilihan UMNO 2018 yang tertera perkataan 'Saya Jamal Md Yunos Menawarkan Diri Bertanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia'.

Sebelum ini, Jamal tampil dalam satu video berdurasi dua minit 52 saat dengan memaparkan Jamal berlatar belakangkan dinding, sambil memberi amanat di meja dan duduk di kerusi.

Jamal ketika itu mengenakan baju T warna biru serta berkopiah putih di kepala.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.