"Yang boleh membantu, menolong dan membangunkan masyarakat India, adalah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sahaja".

Itu merupakan kenyataan ringkas namun padat yang diutarakan Timbalan Presiden BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemilihan yang akan dibuat rakyat Malaysia, khususnya warga India di Bagan Datuk, pada hari pengundian 9 Mei ini.

Calon dan penyandang kerusi Parlimen P.075 Bagan Datuk itu juga mengingatkan rakyat mengenai beberapa rentetan peristiwa yang berkaitan dengan kelemahan penyandang kerusi Hutan Melintang sebelum ini, seorang ahli parti pembangkang, dalam menyelesaikan masalah.

"Kita lebih kasihan kepada rakyat Hutan Melintang. Itulah sebabnya BN mahu tolong rakyat," katanya selepas merasmikan Majlis Manifesto Khas BN Bagan Datuk untuk kaum India bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Sabtu.

"Itulah sebabnya kalau kita pilih BN, saya selaku Ahli Parlimen akan memberi masing-masing sebanyak RM3 juta di Rungkup dan Hutan Melintang, selama lima tahun berturut-turut, menjadikan jumlahnya sebanyak RM15 juta.

"Itu untuk projek-projek kecil. Kalau projek besar, biar saya sebagai Ahli Parlimen tanggung," katanya pada majlis yang diadakan di Dewan Sanmarka, Simpang Empat, dekat sini.

Ahmad Zahid pada majlis pelancaran manifesto khas bagi masyarakat India yang menawarkan 17 Aku Janji bagi meningkatkan kesejahteraan kaum itu di Bagan Datuk.

Manifesto khas bagi masyarakat India itu menawarkan 17 Aku Janji bagi meningkatkan kesejahteraan kaum India di Bagan Datuk.

Antara intipatinya termasuk menyediakan peruntukan bagi membaik pulih bangunan kuil serta membaik pulih dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan Bagan Datuk, akses pendidikan yang lebih luas kepada golongan muda kaum berkenaan menerusi Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Bagan Datuk.

Ahmad Zahid berkata, kesemua 17 perkara itu yang tidak pernah dilakukan BN di tempat lain, merupakan satu keistimewaan untuk pengundi India di kawasan Bagan Datuk.

Justeru, beliau menyeru supaya mereka bertindak memilih calon-calon yang tepat agar kemajuan terus dapat diberikan oleh kerajaan.

BACA: PKR Perak 'import' bekas MP Kapar

DUN Hutan Melintang sebelum ini menjadi kerusi tradisi MIC.

Pada PRU13, kerusi DUN Hutan Melintang dimenangi S Kesavan dari PKR dengan majoriti 1,240 mengalahkan calon BN, R Supramaniam dari MIC dan dua calon Bebas, Azhari Abdullah dan Mat Sidi Hashim.

Pada PRU14 ini, kerusi DUN N54 Hutan Melintang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara G Manivannan dari PKR, Mohd Misbahul Munir Masduki dari Pas dan Khairuddin Tarmizi dari BN.