Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan penarikan diri Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah langkah tepat.

Ini kerana jelasnya, peluang buat Kayveas untuk menang adalah tipis.

“Sebenarnya peluang beliau untuk menang adalah sukar kerana persaingan PRK kali ini adalah jelas antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Sekiranya beliau tetap dengan pendirian untuk bertanding, beliau tahu akan kalah malah ia hanya akan memalukan beliau sebagai presiden,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

BACA: Kayveas tarik diri PRK Cameron Highlands

BACA: Pertandingan empat penjuru di PRK Cameron Highlands





Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas keputusan Kayveas menarik diri daripada bertanding PRK Cameron Highlands dan sebaliknya memberi sokongan penuh kepada calon PH, M Manogaran.

Sebelum ini, Kayveas pernah berkata beliau menanti selama berbelas tahun untuk berkhidmat di Cameron Highlands yang terletak di negeri kelahirannya.

BACA: 17 tahun saya tunggu kerusi Cameron Highlands - Kayveas