Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memulakan tugas sebagai Perdana Menteri interim.

Hantaran ringkas di akaun Twitter Dr Mahathir turut diiringi catatan beliau sedang bekerja seperti hari-hari biasa sebelum ini.

"Just another day in the office (satu lagi hari biasa di pejabat)," demikian catatan di akaun media sosial beliau yang diikuti oleh 1.1 juta pengikut.

Pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.


BACA: Pelantikan interim tidak sesuai ketika ini - Penganalisis

BACA: Perdana Menteri interim tidak perlu sokongan majoriti

Surat kepada Yang di-Pertuan Agong telah dihantar sekitar jam 1 tengah hari Isnin dan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan itu.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.