KUCHING:Naib Yang Dipertua Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa agar penentuan siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

Ujarnya, apa yang lebih penting ketika ini adalah memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.

“Saya berharap agar situasi di Sabah dapat diselesaikan secepat mungkin dan diharap tiada lagi politiking sama ada di Sabah mahupun di negara kita.

“Negara kita pun sekarang ini juga berdepan individu yang mahu merebut jawatan Perdana Menteri.

"Cukup-cukuplah, ini adalah masa untuk kita menyelesaikan dan memberi tumpuan untuk memberi yang terbaik kepada negara dalam pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya turut menegaskan bahawa keputusan Pilihanraya Negeri Sabah tidak boleh dijadikan rujukan kepada Sarawak.

Ini kerana ujarnya situasi dan sentimen di Sarawak berbeza dengan Sabah, begitu juga dengan Semenanjung.

“Sabah mungkin sentimen berbeza dan di Sarawak juga mungkin perbezaan berlaku daripada segi persepsi dan sentimen masyarakat.

“Di Sarawak, GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah memberi yang terbaik dan yang terbaik ini diharapkan akan diterima rakyat dan akhirnya rakyat akan menyokong dan memberi peluang lagi kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa melawat tapak pembinaan bangunan Masjid Darul Naim Kampung Lintang, Kuching pada Ahad.