Badan Wartawan Malaysia (IOJ) mendesak supaya tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap mana-mana wartawan dihentikan dengan segera.

Dalam satu kenyataan media, IOJ berpendapat tindakan yang dikenakan terhadap wartawan Malaysiakini, Susan Loone merupakan satu bentuk penghinaan kepada penerimaan prinsip kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia.

Kenyataan itu juga menegaskan kerajaan seharusnya memenuhi janji untuk melindungi wartawan dalam menjalankan tugas terutama dari sebarang bentuk gangguan atas dasar politik.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk memenuhi janji memansuhkan Akta Hasutan sebagai langkah untuk mengukuhkan kebebasan bersuara dan seiring dengan itu menghentikan semua tindakan di bawah Akta ni.

"Kami turut menggesa pihak kerajaan supaya memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 bagi melindungi dan menjamin kebebasan media serta kebebasan bersuara.

"Selain itu, kerajaan juga bukan sahaja harus memenuhi janji untuk melindungi hak wartawan dalam menjalankan tugas, terutama dari sebarang bentuk gangguan atas dasar politik, perkauman atau agama," kata kenyataan media itu.


BERIKUT KENYATAAN PENUH IOJ

Badan Wartawan Malaysia (IOJ), sebuah badan profesional wartawan di Malaysia, menyuarakan kebimbangan serius susulan penahanan penolong pengarang Malaysiakini Susan Loone dibawah Akta Hasutan 1948 berkaitan sebuah laporan berita yang ditulis dalam menjalankan tugas sebagai wartawan.

Kami percaya penahanan tersebut adalah tidak berasas dan laporan yang ditulis juga tidak dalam apa-apa bentuk berunsur hasutan, berdasarkan pengertian lazim "merendahkan pihak berkuasa"

Berdasarkan maklumat berkaitan, ahli majlis kerajaan negeri Pulau Pinang telah ditemuramah oleh Susan Loone melalui panggilan telefon semasa beliau berada didalam tahanan polis dan kemudian dilaporkan oleh Malaysiakini.

Kesahihan laporan tersebut tidak pernah dipertikaikan oleh pihak polis atau Phee, sementara ketua pengarang Malaysiakini Steven Gan telah menegaskan bahawa portal berita itu mempertahankan laporan mereka.

IOJ percaya bahawa adalah merupakan hak semua wartawan untuk dibenarkan menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa gangguan dan tekanan dari pihak berkuasa atau mana-mana pihak ketiga, samaada bermotifkan politik atau untuk sebab-sebab lain.

IOJ percaya bahawa adalah merupakan hak semua wartawan di Malaysia untuk melaporkan semua berita untuk kepentingan umum secara seimbang, tepat dan tidak berpihak, serta untuk mengetengahkan pelbagai spektrum pendapat.

Kami berpegang dengan pendapat bahawa tindakan pihak polis keatas Susan Loone dan Malaysiakini adalah merupakan satu bentuk penghinaan kepada penerimaan prinsip kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia.

Kami menyeru pihak kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang supaya menghentikan tindakan dibawah Akta Hasutan keatas Susan Loone dan Malaysiakini secara khususnya serta keatas rakyat Malaysia secara umumnya, termasuk menggugurkan semua proses dakwaan yang sedang berjalan.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk memenuhi janji memansuhkan Akta Hasutan sebagai langkah untuk mengukuhkan kebebasan bersuara dan seiring dengan itu menghentikan semua tindakan dibawah Akta ini.

Kami turut menggesa pihak kerajaan supaya memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 bagi melindungi dan menjamin kebebasan media serta kebebasan bersuara.

Selain itu, kerajaan juga bukan sahaja harus memenuhi janji untuk melindungi hak wartawan dalam menjalankan tugas, terutama dari sebarang bentuk gangguan atas dasar politik, perkauman atau agama.

TERTANDA

Ahli Badan Wartawan Malaysia
Pengamal media Malaysia
Penyokong kebebasan media dan kebebasan bersuara