Kerajaan perlu bertindak tegas dalam usaha mengekang salah guna media sosial termasuklah untuk menghina kepimpinan negara dengan kata-kata jelik yang dilihat semakin berleluasa akhir-akhir ini.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Lumut, Akmal Maradzi berkata, kebebasan bersuara ada hadnya dan jangan sampai menghina serta menjatuhkan maruah orang lain.

"Memang benar, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan suara, tetapi menghina itu salah dan boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat.

"Terbaharu ini, ada seorang individu yang mendakwa dirinya seorang penganalisis politik bebas menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di laman Facebooknya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Kerajaan garis tiga teras bagi jamin keharmonian kaum dan agama

BACA:
Ambil tindakan tegas mereka yang hina agama - Anwar

Baru-baru ini, terdapat catatan di Facebook seorang lelaki dipercayai dari Sabah secara jelas menghina Dr Mahathir dengan kata-kata jelik.

Video berdurasi 40.07 minit itu kini difahamkan telah mendapat sebanyak 310,000 kali, menerima 33,000 komen dan dikongsi 6,669 kali.

Akmal berkata, tidak salah seandainya mahu berbeza pendapat atau pandangan politik, namun tindakan menghina serta mengeluarkan kata-kata jelik tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Kita khuatir jika pihak berkuasa lewat mengambil tindakan, perkara yang sama akan berulang, mungkin akan dilakukan individu lain pula.

"Tindakan tegas harus segera diambil kepadanya agar ia dapat menjadi pengajaran kepada pihak lain," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Akmal menjelaskan, Program Jelajah Demi Harapan Rakyat di Mukim Pangkor baru-baru ini merapatkan hubungan rakyat setempat bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan.

Dalam program itu, Akmal berkata, lebih 2,000 orang pengunjung mendapatkan manfaat daripada program yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bahagian Pembangunan Luar Bandar Pejabat Daerah Manjung (PLB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM).

Turut bersama menjayakan program itu adalah Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan juga Biro Kebajikan Armada Bersatu Lumut.

Jelasnya, program sedemikian akan diteruskan di setiap mukim di dalam daerah Manjung agar manfaatnya dapat diguna pakai kepada seluruh rakyat di daerah itu.

"Kita mengharapkan agar lebih banyak lagi agensi dan jabatan kerajaan termasuk pihak swasta lain untuk bekerjasama dalam program seperti ini lagi, ujarnya.