Bersatu Negeri Sembilan membuat laporan polis malam kelmarin, susulan tindakan seorang pemilik akaun laman sosial Facebook menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith berkata, kenyataan pemilik akaun tersebut bersifat provokasi dan tohmahan terhadap Dr Mahathir.

“Ia jelas mendatangkan ancaman keselamatan terhadap Perdana Menteri, selain bersifat perkauman yang boleh menggugat integrasi nasional dan perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum.

“Justeru, kita mahu perbuatan ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan mana-mana peruntukan bersesuaian,” katanya.

Eddin Syazlee berkata, pihaknya juga mahu individu tersebut bertanggungjawab dan dipanggil memperjelaskan perbuatannya itu.

Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Seremban 2 yang turut disertai kira-kira 50 ahli Bersatu.