Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar rakyat menghindarkan diri daripada anasir-anasir jahat yang gemar menghasut, melemparkan tohmahan dan fitnah untuk kepentingan diri sendiri.

Menurutnya, kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) mahu memastikan setiap agenda pembangunan negara dapat direalisasikan dengan semua hasrat dan harapan rakyat dapat dipenuhi dengan baik tanpa terdapat rusuhan mahupun kebencian.

"Saya ingin menekankan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dan agama dalam melaksanakan program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

"Setiap tahun, kerajaan menyalurkan peruntukan yang besar untuk badan-badan keagamaan termasuk sekolah-sekolah.

"Ini jelas membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan komitmen kerajaan dalam membela nasib semua kaum tanpa mengira agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas di Padang Merdeka, dekat sini, pada Sabtu.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah Jasni, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah turut memberi jaminan bahawa kerajaan baharu tidak hanya 'omong kosong' dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia terpelihara.

Menurutnya, kerajaan terus komited memastikan keperluan dan harapan rakyat dipenuhi seiring dengan manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya lepas.

"Adalah menjadi harapan saya dengan kedatangan tahun baharu ini, kita perlu menyahut cabaran secara positif dan belajar melihat cabaran itu sebagai peluang dan bukannya halangan untuk meningkatkan kecemerlangan dan kejayaan dalam ekonomi dan pembangunan negara.

"Kerajaan juga akan terus berusaha untuk meningkatkan ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik dan berintegriti. Kita akan pastikan semua agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan telus," katanya.

Untuk rekod, MRTM Krismas yang diadakan julung kalinya di negeri bawah bayu ini adalah untuk berkongsikan kemeriahan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia bersama-sama rakyat di Sabah.

Dianggarkan lebih 15,000 pengunjung hadir ke rumah terbuka ini yang turut diisi dengan persembahan pelbagai acara kebudayaan dan persembahan pentas.