Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kepimpinan UMNO dapat membawa parti terbesar orang Melayu itu ke arah yang betul dengan meletakkan kepentingan parti, kerajaan dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

Menteri Luar itu yakin keputusan Mahkamah Tinggi ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, akan mengubah dinamik parti tersebut.

"Nasihat saya kepada semua, kekal bertenang dan jangan buat pendirian terburu-buru apatah lagi berlandaskan emosi," katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

Anak lelaki sulung kepada bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

BACA: Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International

BACA: Kes SRC: Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

BACA: 'Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak tahu wang RM42 juta itu' - Sumpah laknat Najib


Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu bahawa beliau menerima keputusan mahkamah dengan perasaan yang bercampur baur.

Katanya, meskipun keputusan itu berat, namun beliau menyatakan kagum dengan ketabahan, kesabaran dan kecekalan yang ditunjukan oleh Najib ketika berdepan dengan ujian selama ini.

"Saya pasti beliau akan terus melalui proses rayuan," ujarnya.