Pahang mempunyai sejumlah 825,636 jumlah pengundi di 14 Parlimen dan 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU ke-13 lalu, Pahang kehilangan empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN iaitu satu peningkatan berbanding 2008 apabila Pakatan Rakyat pada waktu itu memenangi 2 kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN.

Persoalannya adalah sama ada BN Pahang mampu menekan kemajuan Pakatan Harapan dan PAS yang sudah berjaya membolosi tembok-tembok negeri yang suatu masa dahulu dianggap kubu kuat BN?

PRU13 melihat beberapa persaingan yang amat sengit di kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi dengan margin yang sedikit seperti Bentong dan Cameron Highlands ataupun tewas terus kepada pembangkang seperti Temerloh dan Raub.

Pada PRU14 kali ini, kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan ini sekali lagi mencuri perhatian pemerhati politik negara dan pengundi Pahang khususnya.


BENTONG

Calon PRU14 P.89 Parlimen Bentong

Kerusi yang disandang Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sejak 1999 ini dimenangi tipis pada PRU13 dengan majoriti lebih 300 undi.

Tidak dapat dinafikan bahawa Bentong, dengan populasi pengundi Cina yang ramai, menjadi medan pilihan DAP yang sekali lagi meletakkan Wong Tack, seorang aktivis alam sekitar yang mencapai populariti sewaktu isu Lynas Corporation Sdn Bhd menjadi kerisauan rakyat sehingga dibawa ke Parlimen.

Pada PRU lepas, Wong Tack dicalonkan sebagai wakil DAP setelah Himpunan Hijau berjaya mendapat sokongan rakyat dengan menggunakan Operasi Lynas yang dikatakan berbahaya dan memberi risiko pencemaran nuklear yang tinggi kepada masyarakat setempat.

Selepas lima tahun beroperasi, tiada sebarang insiden dilaporkan berlaku di Lynas dan isu kilang ini tidak lagi disebut langsung oleh Wong Tack.

Pas pula kali ini membuat keputusan untuk bertanding di kerusi parlimen tersebut dan meletakkan N. Balasubramaniam yang merupakan pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Selain itu pada 2013, BN kehilangan tiga dari empat DUN di Bentong atas faktor kekalahan kepada DAP.

Sabai, Ketari dan Bilut masing-masing dimenangi DAP manakala Pelangai yang merupakan kerusi Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dilihat sebagai penyelamat yang menyumbang kepada kemenangan tipis Liow.

DAP membariskan wajah baharu Young Syefura Othman bagi mempertahankan kerusi DUN Ketari, manakala Pas meletakkan Roslan Md Esa, BN pula diwakili Datuk Lau Hoi Kong.

Di Bilut, Poo Moon Hong akan mewakili BN, Pas meletakkan Mohd Zamri Nong dan PKR pula membariskan Lee Chin Chen.

Di Sabai, pertembungan empat penjuru melihat dua calon lama dikekalkan, Datuk R. Goonasekaran sebagai wakil BN dan Kamache Doray Rajoo mempertahankan kerusi di atas tiket PKR dan mereja dicabar PAS Mohd Khairuddin Abdullah dan wakil Bebas T. Karunaneethi.

Adnan pula akan dicabar oleh Norhaizan Abu Bakar (PKR), dan Zaharim Osman (Pas).

Namun Pelangai juga tidak lari dari dilanda kontroversi. Baru-baru ini, anak-anak muda kawasan tersebut menunjukkan protes kepada ADUN mereka dan menganggap bahawa kawasan tersebut telah diabaikan walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar selama tujuh penggal.

Persoalannya kini adalah sama ada ia masih mampu membantu Liow pada 9 Mei nanti atau tidak.


TEMERLOH

Calon PRU14 Parlimen Temerloh P.88

Walaupun dengan ketiadaan dua seteru yang mengundang kontroversi iaitu Datuk Saifuddin Abdullah dan Nasruddin Tantawi, pertembungan di Temerloh kali ini tidak kurang hebatnya.

Persaingan lima penjuru ini menyaksikan Naib Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Sharkar Shamsuddin cuba menawan kerusi parlimen Temerloh yang dimenangi Pas pada PRU13.

PKR pula meletakkan Setiausaha Agung PAN Anuar Tahir sementara Pas pula diwakili Timbalan Pesuruhjaya Negeri Yusuf Derus.

Dua calon bebas di Temerloh adalah bekas wartawan stesen televisyen TV3, Khaidir Ahmad dan seorang guru agama, Fakhrudin Abu Hanipah.

Persaingan sengit ini dilihat boleh memberikan kelebihan kepada BN di peringkat Parlimen.

Walaubagaimanapun di peringkat negeri, Mohd Sharkar yang merupakan mantan exco pelancongan dan kebudayaan kerajaan negeri Pahang berdepan saingan empat penjuru di DUN Lanchang yang dipegangnya selama empat penggal.

Khaidir Ahmad, Abas Awang mewakili PKR dan Hasan Omar, Pas, akan masing-masing berentap untuk merebut kerusi negeri tersebut.

Di Mentakab pula lain ceritanya, apabila kawasan yang sudah dianggap ‘hitam’ buat BN itu akan melihat pertembungan tiga penjuru antara calon-calon BN, Datuk Wong Tat Chee, PKR, Wong Chee Wan dan Pas, Abirehah Awang Chik.

Kuala Semantan merupakan kawasan Pas sebelum ADUN dan bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed membuat tindakan menyertai Amanah pada 2015.

Kali ini, beliau akan mempertahankan keresi tersebut sambil dicabar oleh Norazmi Md Ludin mewakili BN dan Hasanuddin Salim dari Pas.


INDERA MAHKOTA

Calon PRU14 Parlimen Indera Mahkota P.82
Kawasan yang disebut-sebut sepanjang PRU14, Indera Mahkota pada pilihan raya lalu dimenangi oleh Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abd Rahman dengan majoriti lebih 7,000 undi.

Namun kali ini, usaha mempertahankan kerusi tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Temerloh sebelum menerima kekalahan di tangan Ketua Perhubungan Pas, Nasruddin Hassan Tantawi.

Kali ini, Nasruddin dan Saifuddin bakal berentap sekali lagi namun telah menukar lokasi di Indera Mahkota.

Faktor Nasruddin sebagai Anak tempatan Indera Mahkota mungkin memberi kelebihan kepada Pas sementara Nasruddin dilihat sebagai orang luar yang hadir mempertahankan kerusi yang dimenangi PKR hasil kerjasama dengan Pas pada PRU-13.

BN pula kali ini meletakkan wajah baharu iaitu ahli jawatankuasa kesihatan dan kebajikan UMNO bahagian Indera Mahkota, Datuk Dr Johan Mat Sah sebagai calon.

Dr Johan bukanlah nama yang asing dalam kalangan masyarakat Kuantan dan Indera Mahkota kerana memberi khidmat sebagai doktor di hospital dan sering membuat lawatan rumah ke rumah.

Kerusi dun Indera Mahkota iaitu Beserah dan Semambu masing-masing dilihat sebagai kubu kuat Pas dan PKR maka keadaan dilihat sukar buat BN untuk menembusi kedua-dua kawasan ini.

Walaupun kemenangan BN di Indera Mahkota kelihatan tipis, sumber terdekat mengatakan bahawa masih ada peluang 50-50 untuk Dr Johan apabila faktor ‘anak tempatan’ diambil kira.


RAUB

Calon PRU14 Parlimen Raub P.80

Suatu masa dahulu, Raub merupakan kubu kuat MCA. Bekas Naib Presuden MCA Tan Sri Ng Yen Yen memegang jawatan sebagai ahli parlimen Raub selama tiga penggal dan dilantik menjadi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menjadikannya wanita Cina yang pertama yang memegang jawatan sebagai menteri kabinet. Kemudian pada PRU13, terdapat perselisihan falam dalaman diantara parti komponen BN menyebabkan pencalonan dibuat pada saat-saat akhir. Ng digugurkan dan digantikan dengen bekas exco kanan Pahang Datuk Hoh Khai Mun. Pada saat ini, MCA kehilangan Raub dan Calon DAP Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz atau Sakmongkol AK47 yang menang dengan majoriti 2,814 undi.

Kali ini Ariff tidak bertanding dan digantikan dengan ‘heavyweight’ DAP Pahang, Tengku Zulpuri Raja Puji dan Hoh pula digantikan dengan Naib Presiden MCA Datin Seri Chew Mei Fun. Chew mempunyai rekod persembahan yang atak membimbangkan apabila kalah di Kajang dalam pertembungan dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Walaubagaimanapun, menurut Sumber terdekat, Chew telah menjalankan gerak kerja di Raub sejak beberapa tahun yang lalu dan cuba mendekati masyarakat pelbagai kaum di sana. Namun ada ura-ura bahawa masalah dalaman di antara komponen parti, di mana UMNO dilihat ingin mencuba nasib di Raub, bakal mengurangkan peluang Chew untuk memenangi semula Raub.

Kerusi negeri Tras yang dimenangi DAP pada PRU13 kali ini melihat pertempuran dua penjuru antara wakil BN Ng Leap Pong dan PKR Chow Yu Hui. Di Batu Talam, Datuk Abd Aziz Karim akan mempertahankan kermis yang dimenanginya dengan majoriti lebih 4,000 undi dan dicabar Dasimah Zainuddin, PKR, dan Tengku Abdul Rahman Tengku Jaafar, Pas.

Manakala kerusi negeri Dong yang dimenangi Datuk Shahiruddin Moin, BN, dengan majoriti 481 undi pada PRU13 melihat beliau kembali mempertahankan kerusi tersebut dan dicabar Dr Hamzah Jaafar dari PKR dan Bedu Rahim Ismail, Pas.


CAMERON HIGHLAND

Calon PRU14 Parlimen Cameron Highlands P.78

Sebelum tarikh PRU14 diumumkan lagi, Cameron Highlands telah pun menjadi kawasan saingan sengit perebutan diantara dua parti komponen BN, MyPPP dan MIC.

Bekas Presiden MyPPP Tan Sri M. Kavyeas yang telah lama turun padang ke Cameron Highlands menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi tersebut yang dimenangi bekas Presiden MIC, Tan Sri G Palanivel dengan majoriti tipis 462 undi pada PRU13.

Sementara itu Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivaraaj Kumar pula tegas mahu kerusi parlimen tersebut dikekalkan sebagai kerusi MIC walaupun ada pihak yang menyoal keupayaan MIC untuk mempertahankan kerusi itu selepas peninggalan Palanivel.

Pada masa sama, nama Ketua Bahagian UMNO Cameron Highlands, Wan Rosdy turut menjadi sebutan kerana dikenali masyarakat setempat.

Apabila pencalonan Sivaraaj diumumkan Adnan baru-baru ini, Kavyeas bertindak meninggalkan MyPPP dan dilihat berkemungkinan besar akan memberi kesan kepala sokongan masyarakat India di Cameron Highlands terhadap BN.

Perselisihan faham di peringkat dalaman ini dilihat bukan sahaja masalah yang dihadapi BN tetapi juga Pakatan Harapan.

Kerusi yang dipertandingkan DAP ini juga menjadi rebutan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang telah lama memperjuangkan isu orang asli dan pencemaran di kawasan tersebut.

Kali ini, PKR meletakkan calon DAP M Manogaran sekali lagi manakala PSM pula meletakkan Suresh Kumar.

Bukan itu sahaja, Cameron juga bakal melihat pertembungan lima penjuru diantara Sivaraaj, Manogaran, Suresh, Mohd Tahir Kasim, Berjasa, dan Wan Mahadir Wan Mahmud, Pas.