Politik matang yang dipamerkan UMNO Pagoh, yang mementingkan perjuangan parti melebihi individu, bukan sahaja harus dicontohi barisan pemimpin UMNO Johor, tetapi juga kepimpinan di seluruh negara.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO Pagoh mementingkan jemaah dan perjuangan parti walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan yang amat sukar sebelum ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan yang dibuat UMNO Pagoh sangat berisiko dan bukan mudah kerana bekas timbalan presiden UMNO dan timbalan perdana menteri datang dari bahagian berkenaan.

Ujarnya, sebagai seorang yang sudah lama di dalam arena politik, beliau begitu faham kesukaran anggota UMNO Pagoh dalam membuat keputusan untuk terus setia dengan pucuk pimpinan.

Jelasnya, ia ditambah dengan rasa terhutang budi kepada sumbangan dan jasa pemimpin terdahulu, yang merupakan hakikat dan budaya Melayu yang sememangnya akan kekal di minda mereka.

"UMNO meletakkan seorang tokoh menggilap dirinya bukan untuk dirinya tapi kepentingan ummah keseluruhannya, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini satu hakikat yang harus kita dakapi.

"Politik matang yang diterjemahkan di Pagoh ini harus dihormati bukan hanya oleh kepimpinan dan ahli seluruh Johor, tetapi harus diterima hakikatnya dan dihormati oleh seluruh UMNO di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, petang Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sifat taksub tidak perlu ada kepada seseorang pemimpin, tetapi seharusnya kepada UMNO, kerana pemimpin datang dan pergi sedangkan parti terus kekal dan menjadi keutamaan.

Jelasnya, beliau kagum dengan Ismail yang berjaya menerajui bahagian tersebut mengharungi segala ujian sebelum ini dan mengharapkannya tidak gentar dengan segala cabaran yang akan datang.

Beliau turut mahukan semangat UMNO Pagoh itu diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekali gus mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh milik BN.