Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mengandaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang dalam kerumitan untuk menangani isu berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau hudud.

“Najib dalam keadaan serba salah sebab MCA sudah mengambil keputusan tidak menyokong dan Gerakan pula sudah buat laporan polis. Jadi macam mana kedudukan ini?

“Saya percaya kalau Perdana Menteri melepaskan keputusan kepada ahli Parlimen UMNO untuk mengundi ikut pendirian masing-masing, saya yakin usul ini tidak akan dapat undian majoriti mudah,” kata Ibrahim yang ditemui wartawan selepas Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Perkasa, di ibu negara pada Ahad.

Ibrahim juga tidak menolak kemungkinan antara faktor yang membuatkan Najib belum menyatakan pendirian tentang isu tersebut adalah kerana beliau tersepit dalam tanggungjawab kelangsungan politik.

“Usul yang bakal dibentangkan PAS itu mungkin akan berjaya kalau Perdana Menteri memberi arahan khusus dalam parti agar menyokongnya,” kata Ibrahim.

Menurutnya, Perkasa memandang serius isu hudud sejak kebelakangan ini dan berpendapat polemik perdebatan dan campur tangan orang bukan Islam secara tidak langsung sudah mencemar imej Islam.

“Orang bukan Islam, termasuk NGO-NGO dan pemimpin parti bukan Islam sudah melampaui batas ketika memberi komen tentang hudud. Ia seolah-olah meludah ke muka orang Islam.

“Kami berasa duka cita kerana isu hudud dipolitikkan. Sebenarnya, pindaan Akta Mahkamah Syariah yang dibuat di DUN Kelantan baru-baru ini iaitu Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II hanyalah pindaan ke atas akta terdahulu,” ujar beliau.

Ibrahim menyatakan kekesalannya atas penolakan pihak-pihak tertentu pada isu hudud terutamanya oleh orang bukan Islam sedangkan mereka itu tiada kena-mengena dalam hal tersebut.

“Pindaan yang dibuat itu hanya untuk orang Islam. Orang bukan Islam harus tahu bahawa perkara yang berkaitan dengan isu hudud ini adalah perkara yang melibatkan soal agama, akidah dan kepercayaan orang Islam.

“Bagaimana kalau kita mempersoalkan kepercayaan penganut-penganut agama lain? Kita tidak pernah persoalkan pun. Ini urusan orang Islam. Mengapa ia diperbesar dan dipolitikkan?” kata Ibrahim yang bimbang keadaan itu terus menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Ibrahim berpendapat, pihak yang membuat serangan dalam isu hudud itu seolah-olah menafikan bahawa Malaysia ini adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jika ini berterusan, maknanya masa depan dari segi integrasi dan soal perpaduan akan semakin sukar.
Sementara itu, Ketua Penerangan Perkasa Hassan Basri menyatakan bahawa perkara yang sebenarnya sedang berlaku sekarang ini adalah akibat daripada kekeliruan dan gambaran salah tentang undang-undang jenayah Islam.

Itu terjadi kerana mereka yang tidak faham hanya mengaitkan hudud dengan hukuman potong tangan, rejam dan sebat.

“Hudud sebenarnya merupakan sebahagian daripada pecahan dalam keseluruhan undang-undang jenayah dalam Islam yang meliputi hudud, qisas dan ta’zir.

“Undang-undang Islam ini adalah tentang proses mendidik dan bukannya soal hukuman semata-mata,” ujarnya yang menekankan bahawa sokongan Perkasa ke atas isu tersebut adalah atas dasar akidah dan kepercayaan sesama Islam dan bukan sebab politik.