Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa mungkin diberi peranan dalam sistem kerajaan Persekutuan khususnya agensi dan perbadanan yang berkait dengan pantai timur.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi Amanah negeri, Wan Rahim Wan Abdullah yang menjelaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pasti membuat keputusan dan persefahaman yang baik dalam menentukan kedudukan Husam.

"Pakej ini ada persetujuan bersama Tun dan Husam. Oleh kerana masa dua bulan ini fokus untuk susun kerajaan dan selesaikan pihak yang menang dahulu, di Kelantan dan Terenganu mungkin kemudian sedikit.

"Saya yakin sebelum 100 hari pemerintahan, Perdana Menteri akan isytiharkan jawatan Husam yang telah dipersetujui sebelum ini," katanya selepas hadir di majlis ramah mesra PH Kota Bharu di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ketiadaan nama Husam dalam senarai pelantikan senator yang diumumkan Dr Mahathir baru-baru ini.

Keputusan itu menyebabkan terdapat suara-suara di peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati.

Wan Rahim yang juga Timbalan Pengerusi PH negeri berkata, dengan pelantikan Husam, keresahan ahli akar umbi akan reda seterusnya membolehkan parti berjalan dengan lebih lancar.

Terdahulu, beliau berkata, pelantikan Ketua Bersatu Ketereh, Dr Mohd Radzi Jidin sebagai Timbalan Menteri Ekonomi tepat dengan kelayakan beliau sebagai bekas pensyarah di bidang akaun forensik.

Beliau berkata, Mohd Radzi boleh membantu kerajaan khususnya menangani isu ekonomi semasa selain pelbagai skandal yang membelenggu negara.

"Dengan umur 41 tahun dan semangat orang muda menjadikan pemilihan beliau itu adalah pilihan tepat. Ramai yang di kalangan orang lama seperti bekas ADUN, ahli parlimen dan exco.

"Beliau (Radzi) ini masih segar dan pengalaman dan keterlibatan dalam UMNO sebelum ini juga memberi kelebihan.

"Saya yakin beliau boleh melaksanakan tugas yang diamanahkan. Pemilihan tepat dan saya menyambut baik," katanya.