Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bakal 'menyarung jersi' baharunya selepas beliau dilihat hilang arah dalam arena politik apabila dipecat daripada PAS, empat bulan lalu.

Menerusi satu status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Husam turut memuat naik sekeping poster Majlis Makan Malam Ambang Merdeka bersama beliau yang dianjurkan Parti Amanah Negara (Amanah) esok.

"Kini, menghampiri empat bulan saya dipecat dari PAS. Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden PAS tidak berguna. Saya menikmati tempoh bertenang. sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka," katanya menerusi catatannya di sini, hari ini.

Malah, beliau turut membidas PAS dengan menyifatkan reformasi yang cuba dibawakan PAS di Kelantan pada 1990 gagal.

"Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990. Wadah yang saya harapkan dulu, seakan-akan telah 'terjual," katanya lagi.

Ujarnya, perjuangan Islam bukan hanya terletak kepada satu pihak dengan memberi gambaran PAS adalah parti yang dimaksudkan.

"Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian.

"Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula. Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr. Sanusi Daeng Mariok memaklumkan kepada media pemecatan Husam berkuatkuasa pada 23 April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa tersebut pada tarikh berkenaan selepas meneliti aduan salah laku terhadap Husam dan setelah mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

Husam dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS pada pertengahan Februari lepas susulan kelantangannya mengkritik parti Islam itu secara terbuka sejak beberapa bulan sebelumnya.

Beliau antara lain menggesa beberapa pemimpin kanan PAS letak jawatan kerana gagal membentangkan rang undang-undang hudud ke Parlimen.