Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyatakan beliau masih lagi ahli parti itu biarpun telah dipecat berkuat kuasa 23 April lalu.

Ini kerana menurut Husam, beliau masih lagi belum menerima surat pemecatan rasmi daripada parti.

Husam memaklumkan beliau hanya mengetahui berkenaan pemecatannya daripada laporan media.

"Ada sesetengah mufti kalau bercerai menerusi SMS itu tidak jatuh talak.

"Ini SMS atau panggilan telefon pun saya tidak dapat, saya kira saya masih lagi belum dipecat," katanya dalam Dialog Bersama Husam Musa di sini, hari ini.

Husam mengakui berat untuk menerima hakikat bahawa dirinya bukan lagi dalam Pas, namun perjuangan perlu diteruskan dalam memastikan rakyat dibela dengan kerajaan telus dan bertanggungjawab, sepertimana yang disuruh dalam Islam.

Ketika ditanya ke mana arah tuju beliau selepas disingkir daripada Pas, Husam menegaskan akan memaklumkan penyertaannya ke dalam mana-mana parti dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.

"Saya bebas sekarang, tapi saya masih dalam tempoh 'idah'.

"Berikan saya masa untuk melihat dan meneliti yang mana tempat lebih sesuai untuk saya teruskan perjuangan," katanya lagi.

Pada 6 Mei, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas, Dr Sanusi Daeng Mariok memaklumkan pemecatan keahlian Husam dalam Pas berkuat kuasa 23 April.

Katanya, ia hasil satu perbincangan di peringkat jawatankuasa pada 23 April setelah aduan salah laku terhadap Husam diteliti dan dipertimbang daripada pelbagai aspek.

Husam didapati melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan Pas.