Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan khabar angin kononnya mantan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Tambun sebagai calon bebas hanya spekulasi kosong.

Beliau berkata spekulasi itu sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu bagi mengoyahkan kepimpinan UMNO Tambun menjelang PRU-14.

"Itu hanya spekulasi, Ianya tidak keluar daripada mulutnya sendiri dan saya kenal Husni, beliau tidak akan berbuat demikian.

"Saya anggap ini semua hanya percubaan pihak tertentu khususnya pembangkang yang mahu mengambil kesempatan daripada situasi Husni," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media Selepas mengadakan perjumaapan bersama UMNO Bahagian Tambun di Bangunan UMNO Negeri, di sini pada Sabtu.

Malah, Dr Zambry yakin Barisan Nasional (BN) akan tetap berjaya mempertahankan kerusinya di parlimen Tambun pada PRU-14 dibawah kepimpinan pemangku Ketua UMNO bahagian itu ketika ini, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

"Saya yakin kita akan berjaya pertahankan kerusi ini dengan kesepaduan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO Bahagian Tambun.

"Saya lihat bahagian ini tidak mempunyai sebarang masalah, malah semangat kesatuan yang ditunjukkan mereka juga amat-amat baik, tiada sebab kenapa kita tak boleh menang" ujar beliau.

Pada Jun tahu lalu, Ahmad Husni yang merupakan Ahli Parlimen Tambun telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Bendahari Umno dan Bendahari Agung BN dengan alasan ingin bersara.

Husni turut meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Timbalan Pengerusi BN Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.