Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini mencabar Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli melakukan pendedahan terbuka berikutan dakwaan beliau melibatkan rasuah di Selangor.

Beliau tidak bersetuju dengan tindakan PKR yang memutuskan malam tadi supaya Rafizi membawa semua bukti yang ada padanya terus ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Apabila melibatkan kerajaan, dia (Rafizi) dedah sahaja, tetapi bila melibatkan parti sendiri, diam pula dan beri bukti kepada SPRM.

"Kalau betul Rafizi berintegriti, dedahlah semua!" cabar Ibrahim, merujuk kepada bukti salahlaku rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, termasuk habuan wanita dan wang, yang didakwa oleh ahli Parlimen Pandan itu.

Pada 20 Mei lalu, Rafizi mengaku menulis mesej dalam aplikasi WhatsApp, mengenai habuan sedemikian jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Selangor, yang menjadi viral.

Sebelum ini, Rafizi berkata akan mengemukakan dokumen berhubung dakwaannya kepada Presiden Parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan akan membuat laporan susulan kepada SPRM.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat Biro Politik parti itu malam tadi, Wan Azizah berkata, Rafizi perlu membawa semua bukti terus kepada SPRM sambil biro tersebut akan turut meneliti dakwaan itu.