Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron selesai mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Exco didahului oleh ADUN Asahan Datuk Seri Abd Ghafaar Atan yang diumumkan sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri.

Istiadat yang berlangsung di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob itu disusuli dengan Idris yang juga ADUN Sungai Udang, yang dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir. - Foto Astro AWANI

Turut mengangkat sumpah, dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan) dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (Exco di Jabatan Ketua Menteri).

ADUN Rembia dari PJR, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengangkat sumpah sebagai Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, manakala ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sekaligus mengekalkan portfolio lama.

Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selesai mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) petang tadi. - Foto Astro AWANI

Turut mengangkat sumpah, ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan), ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur) dan ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman (Exco Kesihatan dan Antidadah).

Perikatan Nasional Negeri Melaka mempunyai 17 ADUN, membabitkan 13 dari Barisan Nasional (BN), dua dari Bersatu dan masing-masing satu dari PKR dan Bebas.