Tindakan empat wakil rakyat DAP di Melaka yang keluar daripada parti hanya akan memberikan impak yang terhad kepada parti tersebut.

Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata, ini kerana sokongan dari kaum bukan Melayu terhadap DAP di kawasan-kawasan terlibat masih tinggi.

"Impak dari krisis DAP di Melaka amat terhad. Dari segi imej, parti DAP di kalangan penyokong tegar amat tinggi. Jadi, mereka berada dalam keadaan selamat," kata brahim ketika mengulas mengenai krisis keyakinan terhadap DAP di Hari Ini 8.

Katanya, pemergian Ahli Parlimen dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai impak sementara tetapi dalam jangka panjang tidak memberi kesan mendalam kerana pandangan dan sokongan pengundi, terutamanya di kalangan bukan Melayu.

Walaupun demikian, Ibrahim berkata peralihan ADUN di dua kawasan mungkin terkesan daripada cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ia akan memberi impak positif kepada Barisan Nasional di DUN Kesidang dan Duyong. Ini kerana DAP menang dengan kadar yang tipis pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan jika persempadanan semula oleh SPR diluluskan, DAP akan tertekan.

"Ini juga kerana pada PRU ke-13, terdapat pengundi Melayu yang undi calon DAP yang terdiri daripada penyokong-penyokong PAS tetapi dengan perselisihan faham antara kedua-dua parti besar, mereka tidak akan lagi sokong calon DAP di situ," kata Ibrahim.

Empat wakil rakyat DAP, terdiri daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, Adun Duyong Goh Leong San, Adun Bachang Lim Jack Wong dan Adun Kesidang Chin Choong Seong umum keluar parti pada Ahad.

Mereka menyatakan mengambil tindakan tersebut kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan DAP yang didakwa sudah tersasar dari matlamat perjuangan asalnya.