Tutup

Ingatlah, pembangkang boleh jadi 'cermin', pelengkap kepada kerajaan

Ingatlah, pembangkang boleh jadi 'cermin', pelengkap kepada kerajaan
Penulis berpendapat, kerisauan Ahmad Faizal tercetus apabila Menteri Besar Perak itu mula sedar rakyat semakin menolak dan menjauhkan diri daripada Pakatan Harapan. - Gambar hiasan
KETIKA ditemui pemberita pada program Larian Untuk Keamanan 2019, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyarankan pihak pembangkang di negeri ini agar berhenti seketika dalam berpolitik sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha yang melibatkan kebajikan rakyat. Beliau juga menyifatkan pembangkang cuba merencatkan usaha kerajaan negeri untuk membangunkan Perak dan boleh merugikan rakyat.

Sepintas lalu, saranan beliau seperti ada kebenarannya. Namun, dalam kerangka berpolitik menyarankan seseorang ahli politik daripada membuat komen, teguran hatta kritikan menandakan beliau sedang berada dalam keresahan dan kerisauan. Antara sebab keresahan kerana gagal melunaskan pelbagai janji yang ditaburkan ketika PRU14 lalu. Boleh jadi resah juga disebabkan perkara yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang kerana ada duri dalam daging dalam pentadbiran beliau. Tidak mungkin bangkai gajah dapat ditutup dengan nyiru. Mustahil mulut manusia dapat ditutup seperti mulut tempayan!

Adapun kerisauan itu tercetus apabila beliau mula sedar rakyat semakin menolak dan menjauhkan diri daripada Pakatan Harapan (PH). Rakyat mula sedar tidak banyak manfaat yang diperoleh dalam tempoh ini, melainkan lebih perit daripada kerajaan dahulu. Malah, di warung-warung kopi pun semakin rancak sindiran sinis dan rasa menyesal ‘memangkah’ PH. Lantaran itu, beliau menjadi risau kerana tanda jangka hayat sepenggal PH di Perak bakal menjadi realiti. Maka, benarlah seperti yang sering dicanangkan iaitu, kerajaan sepenggal sahaja!

Pembangkang bermaruah
Asal pembangkang di sini ialah kerajaan. Majoriti anggota pembangkang di Perak berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan. Sekalipun berpindah saf, perjuangan tetap sama iaitu demi rakyat dan negeri Perak. Jika dahulu kami berfungsi melayani dan menyelesaikan masalah rakyat kerana mandat dan kuasa yang diamanahkan, kini kami beralih sebagai kelompok pendesak dan menyampaikan tuntutan rakyat. Peranan kami semakin mencabar demi kepentingan rakyat. Daripada isu jalan berlubang, tiada penyelengaraan lampu jalan, dewan yang tidak dibaik pulih, longkang tersumbat, surau dan masjid yang tidak bercat, dan kos sara hidup semakin meningkat, semuanya kami lontarkan sama ada melalui sidang Dewan Undangan Negeri dan media untuk perhatian. Tidak timbul soal kami merencatkan usaha kerajaan negeri untuk membangunkan negeri Perak.

Andai kami menyahut saranan Ahmad Faizal, pasti rakyat akan melabel kami sebagai Yang Berhormat bisu dan tidak buat kerja. Lebih menjijikan kami dilebel sebagai ‘makan gaji buta’ dan ‘gaji haram’. Barangkali ini adalah strategi Ahmad Faizal untuk membantutkan idea dan menjatuhkan reputasi wakil rakyat pembangkang di mata rakyat.

Pembangkang masih mempunyai maruah. Kami tetap berpegang kepada demokrasi berparlimen dan tidak berhasrat untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri melalui ‘pintu belakang’. Sekalipun sedar sering berlaku ketidaksefahaman sesama anggota kerajaan, pembangkang istiqamah di safnya. Bermula dari isu mengepit Piala Malaysia di celah kangkang, dakwaan undi tidak percaya, tuduhan rogol, dedah minit mensyuarat kerajaan, dan ‘tipu’ ahli dewan berkaitan pembelian kereta rasmi kerajaan, semuanya menjadi pengetahuan umum rakyat. Segala-galanya berpunca daripada kecuaian pihak kerajaan bukannya pembangkang. Apakah sekadar ‘mencelah’ isu ini sebagai keprihatinan maka kami dianggap berpolitik sepanjang masa?

Begitulah juga dengan ulang suara mencanang beberapa kerugian akibat salah tadbir kerajaan terdahulu. Tidak dinafikan mungkin ada kelemahan pengurusan yang memerlukan pembentulan dan penambahbaikan, namun jika hutang semakin bertambah berbanding dahulu, bererti kerajaan hari ini gagal menguruskan dengan baik. Mungkin ini yang disebut peribahasa seperti tikus membaiki labu.
Zoon politicon

Mungkin agak terasing saya mengungkapkan zoon politicon yang merujuk kepada hasrat kebersamaan dan saling memerlukan. Dalam konteks ini, zoon politicon adalah keperluan pembangkang sebagai pelengkap pihak kerajaan. Mungkin Ahmad Faizal lupa bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Pengerusi PH pernah membangkitkan melalui ucapannya “Krisis Kepimpinan dan Teknik-Teknik Komunikasi Strategik” dalam Forum Krisis dan Risiko: Pendekatan Hadhari, Penjelasan dan Relevannya kepada Cabaran-cabaran Global Kontemporari, anjuran Institut Kefahaman Malaysia pada April 2006.

Menyingkap ucapan tersebut, beliau berpandangan pembangkang boleh menjadi `cermin' kepada kerajaan bagi menilai sama ada tindakan kerajaan itu memberi manfaat atau keburukan kepada rakyat dan negara. Pembangkang juga akan memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa, memperalatkan penyokongnya serta memastikan kerajaan tidak `menjual' negara ini kepada pihak luar. Menurut beliau lagi, "Kalau parti pembangkang itu banyak lagi bagus kerana ia dapat memberi kesan yang lebih baik kepada kerajaan bagi menilai keputusan dan tindakan yang dibuatnya.''

Jangan takut bayang-bayang sendiri

Rakyat bukanlah naif dalam berpolitik. Saban hari mereka mengikuti perkembangan politik negara melalui pelbagai media sosial. Pelbagai komen dilontarkan melalui Whatsapp, Facebook dan Instagram setiap kali ada isu. Adakalanya komen-komen itu terbabas dan bertukar kepada cacian dan makian yang sangat memualkan. Tidak kurang juga yang memuat naik ‘poster’ provokasi berunsur kebencian dan perkauman atau keagamaan. Sebagai ahli politik, semua ini tidak boleh diabaikan, tetapi perlu dihadam dan diteliti sebelum ditukar menjadi idea untuk mencari penyelesaian.

M Yamin menyatakan sesiapa yang takut kepada politik, akhirnya akan diciplak oleh ahli politik. Sementara Abdurrahman al-Kawakibky mengungkapkan politik ialah mengatur urusan-urusan masyarakat dengan segala kebijaksanaan. Perlu diingatkan, kuasa yang diperoleh melalui mandat rakyat itu tidak disalahgunakan. Janganlah jadi seperti kera mendapat bunga. Tidak perlulah Ahmad Faizal dan pihak kerajaan takutkan bayang-bayang sendiri dengan berselindung di sebalik ungkapan tersebut. Fahamilah realiti berpolitik bukan beretorik menafikan tuntutan dan hak rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU14.


* Penulis merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, Perak

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.