AMANAT Tun Dr Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu, Ahad lalu merupakan ingatan serius terakhir mengenai dua bidang yang secara langsung boleh menjejaskan maruah dan mengikis posisi majoriti Melayu dalam negara ini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, bidang pertama yang ditekankan Perdana Menteri adalah kesukaran dan keengganan Melayu untuk merubah minda serta sikap negatif mereka terhadap peluang-peluang ekonomi yang selama ini ditawarkan kepada Melayu terutamanya sepanjang pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Melayu lebih suka untuk menjual dan menggadai segala peluang yang ditawarkan kepada bukan Melayu dengan harga yang murah.

"Mereka tidak mahu mengusahakan setiap peluang yang diperolehi secara serius, cekal dan berjaya.

"Dr Mahathir juga berkata, kerajaan akan meneruskan dasar membantu Melayu dalam perniagaan dan ekonomi di bawah Dasar Kemakmuran Bersama untuk seluruh rakyat.

"Tetapi ini tidak sesekali akan menjamin Melayu dapat menebus kedudukan ekonomi mereka sekiranya Melayu meneruskan sikap dan berperangai negatif seperti yang diamalkan sekarang dan masa yang lalu," katanya dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya.

BACA: Kongres Maruah Melayu: Pentas cari kesepaduan pelbagai aspek - Rahim

BACA:
Kongres Maruah Melayu: Amanat Tun Mahathir melangkaui pelbagai isu - Dr Hamidin

Dalam pada itu, tegas Rahim yang juga Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), sikap Melayu yang terlalu memilih kerja kerana menganggap bidang 'blue collar' sebagai kotor, terlalu berat dan berbahaya, menyebabkan pasaran buruh tempatan dibanjiri jutaan pekerja asing.

"Situasi ini terus melemahkan Melayu. Namun, peliknya, Melayu lebih terangsang dan girang menerima duit percuma RM500 setahun sekali dari bekerja dan menerima gaji minima RM1,200 sebulan," tegasnya.


Bidang kedua yang disentuh Dr Mahathir ialah amalan pemimpin-pemimpin Melayu yang suka bergaduh serta kemudiannya menubuhkan parti politik baharu untuk meneruskan perkelahian itu.

"Dengan jumlah penduduk Melayu lebih sedikit 60 peratus dari jumlah penduduk, enam parti politik Melayu yang ada sekarang secara purata dan teoritikal hanya menguasai kira kira 20 peratus sahaja dari undi Melayu.

"Parti-parti politik yang kecil-kecil ini akhirnya akan memecahkan situasi majoriti Melayu dalam Parlimen. Bila ini menjadi realiti, Melayu akan terus hilang kuasa politik.

"Orang bukan Melayu pula dengan kuasa beli mereka yang tidak terbatas, boleh menawarkan harga yang menarik untuk membeli tanah-tanah Melayu terutamanya di bandar-bandar dan pinggiran bandar," ujarnya.

Jelasnya, tanah-tanah itu dijadikan projek perumahan dan perbandaran yang boleh menambah kerusi-kerusi mereka dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa tiga atau empat Pilihan Raya Umum akan datang.

"Habis tanah-tanah yang dibeli ini dimajukan, pembelian tanah-tanah di luar bandar pula dimulakan. Kependudukan bukan Melayu akan berkembang semakin meluas dan pantas berbanding dengan Melayu di seluruh negara.

"Itu ingatan yg diluah dan amaran keras yang disampaikan Dr Mahathir kepada bangsa Melayu. Bukan salah ibu mengandung.

"Mulai sekarang Melayu mesti dan wajib berubah demi menghidarkan diri mereka dari terjebak ke lembah kecelakaan yang disebut Dr Mahathir.

"Sama ada maruah serta martabat Melayu dihormati atau dihina di masa akan datang bergantung kepada kecapaian, penguasaan dan kecemerlangan Melayu yang sebenar dalam bidang-bidang penglibatan Melayu sendiri," tegasnya.