Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini bersetuju menamakan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jawatan Ketua Whip yang dipegang Ismail Sabri sebelum ini, diserahkan kepada seorang lagi Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan sebelum ini kepada Presiden UMNO yang juga Ketua Pembangkang sebelum ini iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan Barisan Nasional (BN), Pas, dan Gabungan Parti Sarawak.

"Parlimen Malaysia akan bersidang 26 hari bulan ini. Jadi UMNO telah pun bersetuju, ahli-ahli MT telah setuju bahawa kita melantik Ketua Pembangkang baharu iaitu Ismail Sabri, by virtue of seniority, hierarki dalam parti.

"Oleh itu Ketua Whip yang sebelum ini disandang Ismail Sabri, diserahkan kepada next in line iaitu Mahdzir," kata Mohamad Hasan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang turut menggalas tugas-tugas Presiden berkata, parti turut bersetuju menubuhkan Jabatan Pilihan Raya khas dalam usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita bercadang atau kita putuskan untuk adakan Jabatan Pilihan Raya... selama ini tidak ada. Dulu pernah ada war room tetapi kadang-kadang, empat atau lima bulan hendak pilihan raya baru nak digerakkan.

"Tetapi kini ada jabatan khas UMNO untuk kita sentiasa bergerak dan sentiasa buat analisa untuk sediakan jentera kita di peringkat bawah," katanya lagi.