Kontroversi isteri kepada seorang menteri Kabinet negeri yang dilaporkan merasmikan sebuah majlis graduasi sekolah menengah tidak perlu diperbesarkan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, perkara itu hanyalah sekadar menjadi wakil dan isteri menteri tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menurunkan tandatangan ataupun mengumumkan apa-apa projek.

Demikian penjelasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika ditanya mengenai tindakan menteri berkenaan yang menghantar isterinya sebagai wakil merasmikan Majlis Graduasi Pra Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir Papar pada 28 Oktober lalu.

Bagaimanapun beliau menegaskan pada masa akan datang, kerajaan negeri akan memastikan perkara itu tidak akan berulang dan Mohd Shafie juga menggesa kepada semua menteri dan pembantu menteri kabinet negeri agar tidak melakukan perkara seumpama itu pada masa hadapan.

“Dia bukan ada kuasa pun. Cuma mewakili sahaja. Tetapi jika dia menurunkan tanda tangan atau mengumumkan kelulusan projek atau sebaliknya, tindakan itu jelas salah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pameran Khas 'Dirgahayu Tuan Yang Terutama' dan 'Muzik Retro Sabah Era 60-an dan 70-an' di Kompleks Muzium Sabah, hari ini.

Tambah beliau, isu itu sepatutnya tidak perlu diperbesarkan dan apa yang penting adalah penganjur dapat menerima kehadiran wakil itu dan majlis dapat dijalankan dengan baik.

Isu itu, menjadi buah mulut rakyat di negeri ini selepas gambar ketika majlis itu tular di laman sosial Facebook.

Terdapat juga pengguna Facebook yang mempersoalkan tindakan menteri berkenaan untuk menghantar isterinya untuk mewakili beliau dalam majlis rasmi seolah-olah timbalan menteri atau Setiausaha Politik beliau tidak layak untuk dihantar sebagai wakil.