Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar yakin isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan janji 100 hari kerajaan PH tidak akan memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya pengundi di kawasan DUN itu.

Ini kerana, beliau berkata program Inisitif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor lebih besar sumbangannya dan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

"Mereka (penduduk Seri Setia) tidak pernah bertanya dan tidak pernah sebut pun mengenai BR1M atau janji tersebut ketika ditemui," katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak pembangkang ketika kempen PRK DUN Balakong yang mendakwa isu BR1M atau janji 100 hari kerajaan PH akan memberi kesan kepada pengundi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dimansuhkan sepenuhnya selain melabel inisiatif itu sebagai satu bentuk rasuah dan tidak diagihkan secara saksama kepada kumpulan yang sepatutnya.

IPR pula telah diperkenalkan melalui inisiatif kerajaan Selangor meliputi 17 perkara termasuk pembiayaan pelajaran, perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan, pembiayaan pembelian rumah, dan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan bagi rakyat negeri itu.

Sementara itu, dalam mesej bersempena Hari Kebangsaan ke-61, Halimey menyeru golongan muda supaya sentiasa menyemai semangat patriotik dalam diri masing-masing.

"Semoga penyuburan semula semangat patriotik ini akan mengukuhkan lagi rasa sayang kepada negara tercinta," katanya.

Pada PRK Seri Setia 8 Sept ini, Halimey yang merupakan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PAS, bekas anggota Exco kerajaan Selangor Dr Halimah Ali.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.


-- BERNAMA