Tawaran Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan hanya untuk menunjuk hebat semata-mata.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, taraf Dr Mohd Puad sama seperti individu yang baharu belajar politik dan tidak boleh disamakan langsung dengan pengerusi mereka.

"Kita bagi keketapan iaitu hanya menerima Datuk Seri Najib Tun Razak untuk datang pada program itu. Tun Mahathir adalah 'top dog' dan tidak sama dengan 'street dog' sperti Dr Mohd Fuad.

"Dia (Dr Mohd Puad) tidak menang pilihan raya pun. Dia bukan sesiapa dan cuma hendak menonjolkan diri sebab hendak ambil kesempatan dekat pilihan raya.

"Pada saya, dia seperti budak hingusan dan sama seperti orang yang baru berjinak dalam politik. Jadi dia tidak perlu tunjuk hero," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: Tiada keperluan PM Najib sahut cabaran debat Dr Mahathir - Syed Ali

BACA: Kerja sia-sia layan pelawaan berdebat pembangkang - Ismail Sabri


Sebelum ini, Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan akan menganjurkan forum 'Nothing to Hide' dengan menjemput Datuk Seri Najib dan Dr Mahathir menjawab soalan berbangkit daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Dr Mohd. Puad Zarkashi menawarkan diri dan mencabar Dr Mahathir untuk berdebat mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam forum berkenaan.

Malah, Dr Mohd Fuad turut menyatakan akan memberikan ruang sepenuhnya kepada bekas Perdana Menteri itu menentukan tarikh dan lokasi sesuai untuk perdebatan tersebut diadakan.

Dalam pada itu kata Mohd Ashraf, paling penting bagi mereka adalah penjelasan daripada perdana menteri dan bukan individu lain.

Terdahulu, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perdana menteri tidak perlu melayan cabaran Dr Mahathir untuk berdebat di forum berkenaan kerana ia hanya membuang masa.

Ujarnya, tindakan Dr Mahathir menjemput Datuk Seri Najib berdebat bertujuan memfitnah perdana menteri secara terbuka, bukannya untuk mencari kebenaran.

Pada April lepas, polis membatalkan permit kebenaran debat antara Dr Mahathir dengan Datuk Seri Nazri Aziz yang dijadual diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.