Isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi penjelasan secara terperinci oleh pihak yang terlibat bagi meredakan keadaan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal memberitahu, Kementerian Kewangan khususnya perlu memberi penerangan yang lebih terperinci berkenaan soalan-soalan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Shafie, penjelasan terperinci itu sekali gus akan memberi keyakinan kepada kesemua pihak termasuk rakyat di negara ini.

Beliau juga turut menyangkal dakwaan kononnya terdapat isu peribadi antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Dr Mahathir.

“Saya pasti ia tiada kena-mengena dengan jambatan bengkok sahaja, namun terdapat banyak persoalan, penjelasan perlu dibuat.

“Ini penting untuk kita supaya penjelasan itu dapat kita terangkan. Ia akan meyakinkan bukan saja Tun Mahathir malah rakyat juga,” katanya apabila ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Kempen Penambahan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, secara umum orang ramai sudah ketahui bahawa Kabinet sudah memutuskan tentang penyerahan isu itu kepada badan pengauditan termasuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Bagaimanapun, Shafie berpendapat, sementara menunggu hasil pengauditan itu, pihak yang mempunyai maklumat boleh menjelaskan sesuatu untuk menjawab persoalan.

“Di samping itu, adalah penting kepada kita jika ada sesiapa mempunyai maklumat, khususnya Kementerian Kewangan agar dapat menerangkan dengan lebih terperinci tentang perkara-perkara yang dilontarkan,” kata Shafie.